Sunday, July 10, 2011

Perancangan Keluarga.

Oleh : Aisyah Shafien
Kelolaan : Muhamad Hakimi Hussain


Agaknya jika disuakan dengan perkataan ‘perancangan keluarga’, apa yang terlintas di kepala dan minda kita?

“ish,mereka ni tak percaya dengan Allah ker?”
“ulat dalam batu pon Allah beri makanan”
“nak lawan takdir la tu”

Hakikatnya, kita ini terlalu disempitkan dengan persepsi, cerita dongeng yang dikisahkan oleh mereka yang terdahulu. Bukankah Islam mengajar kita untuk bertanya pada yang ahli, jika kita tidak memahami? Jadi, mari kita kenal apa sebenarnya yang disebut dengan ‘Perancangan Keluarga” atau lebih dikenali sebagai Family Planning ini. (selepas ini diringkaskan dengan PK)

Definisi PK ini sangat luas. Jika menurut ‘kamus’ Wikipedia, PK ini diertikan sebagai perancangan masa yang sesuai untuk memiliki anak dan menggunapakai kaedah kaedah seperti mengawal kelahiran dan pendidikan seksual.Ia turut berkait dengan kaedah menguruskan masalah ketidaksuburan dan mencegah dan menguruskan penyakit jangkitan seks(sexual transmitted disease).

Populasi manusia yang semakin bertambah setiap tahun dengan peningkatan masalah yang berkadar terus dengannya, memerlukan kepada suatu jalan penyelesaian, antaranya adalah melalui PK. Di antara tujuannya adalah untuk membolehkan pasangan memiliki kuantiti anak yang sesuai, mengelakkan kandungan yang tidak diingini dan menjarakkan kelahiran anak.

Mari kita lihat secara lebih dekat apa yang di sebut PK ini. Umumnya, PK terbahagi kepada dua kategori. Semulajadi (natural) dan tiruan (artificial). PK secara semulajadi adalah berdasarkan kepada mengelakkan hubungan kelamin semasa waktu subur wanita. Cara ini dipandu dengan tanda tanda fizikal seorang wanita itu, seperti kenaikan suhu badan dan perubahan kepada mucuous yang keluar darinya semasa waktu ovulation. Kaedah ini adalah satu satunya kaedah yang dikatakan 100% berjaya.

Manakala PK secara tiruan pula terdiri daripada pelbagai cara dan kaedah. Setiap satunya mempunyai kadar keberkesanan yang berbeza, dan mungkin lebih sesuai untuk sesetengah orang berbanding dengan yang lainnya. Di sini saya senaraikan beberapa contoh teknik yang ada beserta sedikit penerangan ringkas.

1. Penghalang (barrier)

Kondom dan diafragma termasuk dalam kaedah ini. Kondom di penis lelaki akan mengekalkan sperma di dalamnya manakala diafragma di masukkan ke vagina perempuan untuk menghalang kemasukan sperma. Peratus keberkesanan dari 71% hingga 85%.

Kelebihan : tiada kesan sampingan, perlindungan dari STDs, menghalang dari kanser servik
Kekurangan : mengganggu hubungan kelamin, perlu ditukar dengan yang baru setiap kali.

2. Oral/Topical

Pil dan pemakaian patch di tubuh seorang perempuan untuk mengawal paras hormon. Kaedah ini dikatakan 92% berkesan.

Kelebihan : senang di gunakan, kaedah paling berkesan dan boleh diubah semula(reversible)
Kekurangan : perubahan mood, jerawat, berat badan bertambah, risiko untuk ketumbuhan

3. Suntikan

Suntikan Depo-Provera untuk mengawal kelahiran kepada seseorang wanita, dan perlu menerima sebanyak 4 suntikan setiap tahun. Peratus berjaya adalah dari 97 hingga 99%

Kelebihan : mudah, boleh digunakan oleh wanita yang berumur
Kekurangan : abnormal kitaran haid, tiada kesan jangka panjang

4. IUD (Internal Uterine Device)

Alat ini dimasukkan ke dalam rahim perempuan untuk menghalang penempelan embrio dan kandungan. Apabila dia bersedia untuk kembali mengandung, alat ini akan di keluarkan. Bagaimanapun, seorang doktor perlu berhati hati kerana ramai wanita menggunakan kaedah ini untuk membolehkan dia menggugurkan kandungan, lebih lebih lagi untuk kandungan di luar nikah. Kaedah ini juga membawa bersamanya risiko untuk mendapat jangkitan, pendarahan dan juga mengganggu putaran haid. Peratus berjaya adalah 97 hingga 99%.

Kelebihan : sangat berkesan, tidak mengganggu hubungan kelamin.
Kekurangan : menyakitkan, jerawat, jangkitan, kejang otot di antara putaran haid

5. Pemandulan (sterilization)

Satu satunya kaedah yang melibatkan lelaki secara khusus. Di sebut juga vasectomy. Pembedahan luar kepada lelaki dengan memotong vas deferens dan menyebabkan sperma tidak di pancut dalam proses ejaculation. Boleh juga dilakukan ke atas wanita dengan memotong tiub fallopio yang menyambungkan rahim dengan ovari. Peratus berjaya adalah 99%.

Kelebihan : kekal, tidak menjejaskan kesihatan jangka masa panjang
Kekurangan : komplikasi biasa jangka masa pendek, pendarahan dan darah beku di skrotum

Harus di ingat, biar apa jua cara dan teknik yang digunakan, apa yang perlu untuk di ambil kira adalah keselamatan dan kesihatan ibu dan juga anak yang dilahirkan. Setiap satu kaedah mempunyai kelebihan dan kekurangan. Pemilihan setiap teknik bergantung kepada status kesihatan, umur, kos dan kemudahan yang ada.

Sejauhmana konsep PK ini diaplikasikan diseluruh dunia?
Untuk pengetahuan bersama, kos untuk setiap kelahiran normal di US pada tahun 1996 adalah kira-kira USD 7,090. Kementerian Amerika menganggarkan, untuk setiap bayi yang dilahirkan pada tahun 2007, setiap keluarga akan membelanjakan secara purata sebanyak USD 11,000 hingga USD 23,000 untuk tempoh 17 tahun pertamanya.

Di mana mana negara, polisi PK ini dibuat untuk mengatasi populasi rakyat dan kos yang makin meningkat. India sebagai contoh, memperkenalkan kempen “we two,our’s one” dan “girl or boy,let there just be one child”. Hong Kong dengan “two is enough” ,Iran juga China .Bagaimanapun, setiap polisi ini mengundang kritikan selepas berlakunya kes pengguguran dan pemandulan secara paksa.

Kita melihat senario yang menarik melibatkan PK berlaku di Iran. Di era Ayatollah Khomeini, rakyat di warwarkan dengan slogan bahawa Islam dan negara memerlukan rakyat yang ramai. Namun, selepas kejatuhan Ayatollah dan kenaikan Ali Khamenei dan presiden Akbar Hashemi Rafsanjani, perubahan dibuat dengan mengatakan bahawa “kapasiti yang ada tidak mencukupi untuk menampung menyediakan makanan, pekerjaan dan rumah”, lalu membawa masuk kondom, pil perancang, IUD dan segala macam lagi.

Bagaimanapun, dengan Ahmadinejad sebagai presiden, polisi baru diwujudkan dengan cuba meningkatkan populasi rakyat dari 70 juta kepada 120 juta. Dalam satu kata kata beliau, ”I am against saying that two children are enough. Our country has a lot of capacity.for many children to grow in it.Westerners have got problems.Because their population growth is negative, they are worried and fear that if our population increases we will triumph over them.”

Kita tinggalkan pertelingkahan di negara negara itu. Apa kata Islam tentang PK?Apa saranan Allah tentang PK ini?

Soal perancangan keluarga dan mengawal kelahiran dibincangkan dengan terperinci oleh Akademi Fiqh Islam. Mereka mempunyai seramai 23 orang ulama yang mengkaji dan membentangkan pendapat mereka berkenaan isu ini secara khusus. Dikalangan mereka adalah Muhammad Ali al-Baar, Muhammad Saeed Ramadhan al-Booti dan Sayid Muhammad Tantawi. Secara kesimpulannya, Islam menggalakkan untuk mempunyai ramai anak tetapi ia juga membenarkan golongan Muslim mengamalkan PK di atas sebab sebab yang munasabah.

Mari kita lihat hadis dan ayat ayat quran yang berkaitan.

“Kahwinilah (wanita) yang penyayang dan subur kerana aku akan mempunyai umat yang paling ramai berbanding rasul lain di Hari Kebangkitan nanti.” –riwayat Ahmad dan Ibn Hibban

“ALLAH menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang batil dan mengingkari nikmat ALLAH?” –an Nahl:72

“dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, KAMI akan memberi rezeki kepadamu dan kepada mereka,” –al An’am:151


“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. KAMI-lah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar,” –al Isra’ : 31

Jadi, di mana konsep mengawal kelahiran dan merancang keluarga di dalam Islam?

Dalam surah Al Baqarah ayat 233, Allah berfirman dengan maksud “dan ibu ibu hendaklah menyusui anak anaknya selama dua tahun penuh,bagi yang ingin menyusui secara sempurna.dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut…” Satu cara semulajadi untuk merancang kelahiran adalah dengan menyusui anak. Bagaimana? Begini. Proses penyusuan yang berlaku memastikan paras hormon prolactin untuk kekal tinggi. Ini dalam masa yang sama akan menghentikan perembesan hormon estrogen dan progesteron yang seterusnya menghalang proses ovulation. Dan tanpa ovulation,wanita akan kekal tidak mengandung.

Berdasarkan hujah hujah di atas, ulama merumuskan 3 resolusi

1. Tidak dibenarkan untuk mewartakan undang-undang umum yang menghadkan kebebasan pasangan untuk mempunyai ramai anak.

2. Adalah dilarang untuk ‘secara kekal’ menghentikan keupayaan lelaki atau wanita untuk menghasilkan zuriat seperti hysterectomy (buang rahim) atau vasectomy (buang testis), selagi mana tiada keadaan yang memerlukan menurut kerangka Syariat Islam.

3. Adalah dibenarkan untuk mengawal waktu kelahiran dengan niat menjarakkan kehamilan atau menangguhnya kepada waktu tertentu, jika terdapat keperluan Syariah dengan mendapat pandangan, nasihat dan persetujuan bersama di antara pasangan. Walaubagaimanapun, ia mestilah dilakukan tanpa membawa sebarang kemudaratan dengan kaedah yang dilulus Syara’, dan tanpa melakukan apa-apa yang merencat kehamilan semasa yang wujud.

Begitulah. Saranan itu dari Allah. Itu pun Allah masih mengatakan jika kamu mahu menyusui dengan sempurna. Jika tidak, silakan. Apa pun penerimaan anda-membangkang atau menyokong-biarlah ianya di dasari iman. Saya tinggalkan perkara ini di sini untuk anda. Untuk kita fikirkan bersama. Artikel ini bukan untuk memberi fakta,tapi untuk menjentik akal dan mencetus rasa.

Tepuk dada Tanya iman!

0 comments:

Post a Comment